LATAR BELAKANG PELAKSANAAN MURNInets


Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (JPBDSM) (sekarang dikenali sebagai Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) amat komited dalam menerapkan konsep pembangunan mampan dan membangunkan penunjuk-penunjuk kemampanan secara bersistematik, menyeluruh dan berterusan. Sejak tahun 2002 lagi, satu set penunjuk pembangunan mampan pertama telah dibangunkan oleh JPBDSM dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui aplikasi Malaysian Urban Indicators Network (MURNInet) sebagai sistem penilaian dan pemantauan tahap kemampanan bandar-bandar di Malaysia.


Pada tahun 2002, JPBDSM telah menerbitkan Garis Panduan Perancangan – Petunjuk Bandar Mampan (JPBD 5/2002) pada tahun 2002 yang telah mencadangkan 53 petunjuk bandar untuk memandu Pembangunan kearah kemampanan. Petunjuk–petunjuk yang dicadangkan adalah berasaskan Prinsip Perancangan dan Pembangunan Sejagat dan keperluan Konsep Pembangunan Mampan yang diterjemahkan kepada parameter mampan.

Seterusnya, pada tahun 2005, JPBDSM telah menerbitkan Garis Panduan dan Manual Penggunaan Petunjuk Bandar Malaysia (MURNInet) (JPBD 1/2005) bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan agensi-agensi Kerajaan di dalam mengukur dan memantau pencapaian dan kemajuan bandar ke arah pembangunan mampan.

 

Petunjuk-petunjuk bandar itu penting bagi mengukur ‘standard’ kualiti hidup yang minimum yang perlu dicapai oleh setiap bandar di negara ini. Bagi memudahkan pelaksanaan Garis Panduan dan 53 Petunjuk Bandar Mampan berkenaan, satu sistem maklumat telah direkabentuk iaitu Jaringan Petunjuk Bandar Mampan atau Malaysia Urban Indicator Network (MURNInet). MURNInet ini diwujudkan berdasarkan satu jaringan sistem berkomputer yang direkabentuk untuk menganalisis keadaan semasa bandar serta kesan pembangunannya, memantau perubahan yang berlaku secara temporal dan merangka senario-senario pembangunan bandar mampan di masa hadapan berteraskan kepada piawaian yang ditetapkan.

 

JPBDSM telah menjalankan Kajian Semula dan Pengukuhan Penunjuk Bandar Mampan Malaysia (MURNInet) pada tahun 2011. Tujuan kajian tersebut adalah untuk memastikan penunjuk-penunjuk bandar mampan yang digunakan adalah selaras dengan dasar-dasar pembangunan negara semasa seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Ekonomi (PTE), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan Rancangan Fizikal Negara (RFN) Kedua.  


Kajian semula dan pengukuhan MURNInet telah melalui pelbagai proses. Semua penunjuk dan modus operandi perlaksanaan program MURNInet telah dikaji, diperkukuh dan dinilaisemula tanpa mengubah objektif asal pelaksanaannya iaitu :-

  1. menentukan tahap pencapaian kemampanan bandar berdasarkan kepada penunjuk- penunjuk bandar Malaysia;
  2. mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap bandar mengikut penunjuk;
  3. mencadangkan peluang-peluang penambahbaikan untuk meningkatkan tahap kemampanan sesebuah bandar; dan
  4. menjadikan MURNInet sebagai alat mengukur bagi pelbagai peranan termasuk pentadbiran, teknikal, pembentukan objektif politik, penglibatan awam dan pemantauan pelaksanaan pelan tindakan.

 

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT KPKT) pada 1 Jun 2011 telah meluluskan dan diberi penjenamaan semula kepada Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia atau Malaysian Urban Rural National Indicators Network for Sustainable Development (MURNInets).


Ciri-ciri baru Penunjuk Bandar yang diperkenalkan dalam MURNInets ialah:-

  1. Penunjuk-penunjuk bandar yang digunakan dalam penyelidikan bandar mampan MURNInets versi baru telah dibahagikan kepada “dimensi” dan “tema”. Terdapat 6 dimensi, 21 tema dan 36 penunjuk yang mencerminkan tahap kemampanan bandar dan luar bandar telah dipersetujui.
  2. Kajian Indeks Kebahagiaan diperkenalkan sebagai salah satu penunjuk bandar di bawah tema Kualiti Kehidupan bagi menepati arus pembangunan semasa yang menekankan kesejahteraan komuniti.
  3. Teknik baru analisis Indeks Kemampanan Bandar dengan pemberian pemberat kepada setiap dimensi, tema dan penunjuk.
  4. Kebanyakan sasaran dan piawaian bagi penunjuk yang digunakan telah disesuaikan mengikut hierarki PBT.

 

Kesemua penunjuk baru dikenalpasti dan dipersetujui didasarkan kepada satu kerangka seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1. Kerangka baru ini dibentuk berdasarkan kepada Strategi Pembangunan Mampan yang digarap melalui dasar Wawasan 2020, Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Lima Tahun, Rancangan Fizikal Negara (RFN), Rancangan Fizikal Negara Kedua (RFN2) dan dasar-dasar pembangunan sektoral seperti perbandaran, pembangunan wilayah, pertanian, perindustrian, alam sekitar, ekonomi, demografi/sosial, perumahan, infrastruktur dan pengangkutan. Strategi pembangunan mampan ini turut disokong oleh dasar-dasar kemampanan semasa iaitu Program Transformasi Kerajaan yang mengandungi pelbagai program di bawahnya seperti NKRA, NKEA dan MKRA.

 

Lima Strategi Pembangunan Mampan yang telah dibentuk ialah :-

  1. Pembangunan ekonomi yang efisien dan berdaya saing;
  2. Penggunaan tanah dan sumber asli yang optimum;
  3. Keseimbangan pembangunan wilayah;
  4. Peningkatan kualiti spatial, alam sekitar, keselamatan dan kesejahteraan sosial; dan
  5. Urustadbir perhubungan dan penyediaan kemudahan infrastruktur dan masyarakat.

 

Berdasarkan strategi tersebut, satu set penunjuk kemampanan yang lebih bersesuaian untuk mengukur tahap pembangunan mampan di peringkat tempatan dipilih dan diselaraskan dengan dasar-dasar pembangunan negara semasa. Ianya ditandaras dengan penggunaan penunjuk- penunjuk semasa di peringkat nasional seperti penunjuk-penunjuk RFN, DPN, RSN, SA–RT, Perancangan Desa, mahupun penunjuk-penunjuk kemampanan diperingkat antarabangsa seperti United Nations, United Kingdom, Australia, Korea, Jepun, Bhutan. Penunjuk-penunjuk yang masih bersesuaian dan relevan dalam MURNInet sebelum ini dikekalkan penggunaannya. Manakala bagi penunjuk yang tidak bersesuaian lagi pula digugurkan.

 

Secara keseluruhannya, kerangka MURNInets ini dilihat dapat memantap dan mengukuhkan lagi sistem sedia ada dari pelbagai aspek penambahbaikan. Berdasarkan kerangka MURNInets ini juga, penunjuk-penunjuk telah dibahagi kepada 6 dimensi didasarkan kepada Strategi Pembangunan Mampan yang telah dipersetujui. Dimensi-dimensi tersebut adalah :-

  1. Dimensi Ekonomi Berdaya Saing;
  2. Dimensi Kualiti Persekitaran Mampan;
  3. Dimensi Komuniti Sejahtera;
  4. Dimensi Gunatanah & Sumbe Asli Optimum;
  5. Dimensi Infrastruktur & Pengangkutan Efisien; dan
  6. Dimensi Urustadbir.